Wednesday, 6 April 2011

TAHNIAH PJK Feda Gunung Besout 5!!!


PJK Felda Gunung Besout 5 dengan jayanya telah menganjurkan Program Expert Workshop pada 2 April 2011 bertempat di Bilik GPW, Felda Gunung Besout. 

Program Expert Workshop yang dihadiri oleh Encik Abu Hassan Bin Jaafar, Penolong Pengurus Felda serta isteri dan 24 orang peserta ini bertemakan Sulaman Manik dan Labuci.

Puan Rosidah Binti Darus, seorang usahawan butik jahitan dari Sungai Besar, Selangor telah dijemput khas bagi mengajar teknik jahitan manik kepada para peserta. Beliau telah memperlihatkan 10 teknik jahitan manik yang boleh dipraktikkan oleh para peserta untuk tujuan peribadi mahupun untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan berasaskan jahitan dan sulaman.  

Para peserta amat berbesar hati diatas peluang yang telah diberikan kepada mereka untuk menimba ilmu baru secara percuma. Ternyata ilmu yang telah dicurahkan oleh Puan Rosidah berjaya mencetuskan minat baru dikalangan peserta.

Diakhir sesi, para peserta tidak sabar untuk pulang ke rumah untuk menyulam manik di pakaian sendiri. 

Kenali 'Expert' Anda ~

        Beliau  adalah  Puan Rosidah Darus.  Anak jati Sungai Besar, Selangor yang telah dilahirkan pada 11 Oktober 1976.  Anak sulung daripada 3 adik beradik  ini mempunyai Diploma dalam jurusan Bahasa Melayu & Linguistik  daripada Universiti Malaya.

Minatnya dalam bidang jahitan manik dan labuci ini telah mendorong beliau untuk membuka Seyha Beads & Tailor pada tahun 2005. Perkhidmatan yang ditawarkan di kedai beliau meliputi tempahan jahitan manik, labuci, sulaman dan juga tempahan lain seperti  baju kurung, kebaya, baju pengantin dan banyak lagi.

Keindahan sulaman dan kualiti jahitan yang kemas dan teliti telah berjaya menambat hati para pelanggan daripada pelbagai pelusuk negara malah hingga ke Singapura. Beliau juga pernah menjadi tetamu undangan dalam rancangan Nona, TV3 pada tahun 2008 dan rancangan Nasi Lemak Kopi 'O' di TV9 pada tahun lepas. 

Thursday, 31 March 2011

Berita Baik Untuk Peneroka Felda Gunung Besout 5!!!

Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Felda Gunung Besout 5 akan mengadakan satu Program Expert Workshop iaitu Bengkel Menjahit Manik dan Labuci pada 2hb April 2011, ianya diadakan khas untuk penerokawati yang menetap di Felda Gunung Besout 5 sahaja. 

Bengkel yang akan dikendalikan oleh seorang tenaga pakar yang berpengalaman, Puan Rosidah Darus, adalah terhad kepada 30 orang peserta sahaja. Kepada mereka yang berminat dan ingin mempelajari teknik-teknik menjahit manik dan labuci, sila hadirkan diri anda ke PJK Felda Gunung Besout 5 untuk mendapatkan maklumat lanjut seterusnya daftarkan diri anda di sana untuk bengkel yang pertama kali seumpamanya diadakan ini.

Selain dari mempelajari teknik menjahit manik dan labuci, para peserta juga secara tidak langsung akan didedahkan dengan penggunaan ICT (internet), di mana setiap nota rujukan, tip & petua, maklumat terkini serta sebarang pertanyaan selepas bengkel boleh dilakukan dengan hanya melalui blog khas ini. 

Blog ini juga akan berfungsi sebagai sumber maklumat kepada peserta bengkel untuk melayari pautan-pautan lain yang berkaitan. Para peserta juga boleh berinteraksi dan bertanya dengan tenaga pakar yang dijemput menggunakan perisian serta ruangan yang disediakan, semuanya secara online.